Rabu, 17 April 2013

Mustafa Akan Lakukan Sumpah Laknat Jumaat Ini?!!



KUALA LUMPUR 17 April - Keputusan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali untuk tidak membuat laporan polis berkenaan isu penyebaran video seks yang mirip beliau boleh dilihat sebagai merosakkan kredibiliti perjuangan Islam Pas selama ini.

Menurut Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, adalah lebih baik Mustafa mengangkat sumpah di mana-mana masjid dan menjadikan orang ramai sebagai saksi untuk memperbetulkan kembali fakta berkenaan isu itu jika beliau berada di pihak yang benar.

“Tiada apa yang perlu ditakuti jika beliau tidak melakukan perkara tidak bermoral itu, jadikan kisah Saiyidina Uthman sebagai teladan. Bagaimana khalifah ketiga itu mengangkat sumpah di Masjid Nabawi untuk menafikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Jika di kalangan ahli parti melakukan perkara tidak bermoral seperti ini pun sudah dianggap bertentangan, ini kan pula perwakilan tertinggi parti yang melakukannya. Sudah semestinya dianggap perkara luar biasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas penafian Mustafa Ali berhubung dakwaan penyebaran video seks yang menyerupai dirinya di dalam laman sosial baru-baru ini.

Bagi Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, sebagai pemimpin tertinggi Pas, Mustafa perlu membersihkan imejnya dengan terlebih dahulu membuat laporan polis untuk membolehkan pihak terbabit melakukan penyiasatan terperinci bagi mendapatkan kesahihan adakah beliau (Mustafa) merupakan pelakon utama video itu ataupun tidak.

“Sekarang ini, langkah terbaik, dia sendiri pergi buat laporan polis supaya perkara tersebut boleh disiasat dan dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah jika dia berada di tempat yang benar.

“Sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam masyarakat melihat Pas sebagai tidak konsisten dan goyah dalam memegang prinsip Islamnya, jangan lupa maruah dalam agama perlu dipertahankan bagi menutup keaiban diri sendiri," katanya di sini.

Jelas Abdullah, ekoran video seks ini, kredibiliti jawatankuasa tatatertib Pas sedikit terjejas sejak kebelakangan ini.

“Soal perkaitan moral dan akhlak ahli parti pun tidak mampu diselesaikan ini telah menunjukkan jawatankuasa Pas lemah dalam mengambil tindakan disiplin," jelasnya lagi. -Utusan




Rabu, 10 April 2013

Perebutan Kerusi Pakatan Kian Parah!






Nampaknya, semakin dekat pilihanraya, semakin ghairah berkempen, semakin celaru Pakatan Rakyat jadinya. Hampir di semua negeri dan semua kawasan akan berlaku perebutan kerusi, ketidakpuasan hati dan sakit hati.  

Di Kedah, DAP telah diketepikan oleh PAS. Di Perlis, PKR telah dipermainkan oleh PAS. Di Johor, DAP telah mengenepikan DAP sendiri dan juga PKR. Di Selangor dan Pahang, PKR bermain tolak-tolak sesama sendiri. Di Terengganu PAS dan PKR berhempas pulas menepis dan menekan sesama sendiri. Di Perak, kita menyaksikan ‘pertandingan pencak-silat kalah maki’ antara DAP-PKR, DAP-PAS, PKR-PAS. Di Negeri Sembilan pula berlaku ‘perebutan tiga penjuru’ di beberapa tempat.   

Apa yang berlaku membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai susunan hierarki kepimpinan yang jelas mahupun sifat setiakawan yang ikhlas. Malah, sifat hormat-menghormati sesama sendiri, termasuk sesama pemimpin parti sekutu juga tidak ada langsung.   

Mungkin kerana terlalu sangat mempromosi sikap tidak menghormati dan suka menghina orang lain, maka akhirnya apa yang diterapkan oleh PR itu kini berbalik kepada diri mereka sendiri di mana tiada siapa lagi yang menghormati mereka.  

Maka kerana itu, kita melihat pilihan Anwar diboo oleh penyokongnya sendiri. Pilihan Lim Kit Siang dicemuh penyokong sendiri sehingga membawa kepada perletakan jawatan.   

Mungkin hanya penyokong PAS masih mempunyai rasa hormat kepada pemimpin sendiri tetapi jelas mereka juga tidak hormat kepada pemimpin PKR dan DAP kerana DAP dan PKR tidak pernah menghormati pemimpin mereka.  

Dalam keadaan di mana ‘carta aliran’ kuasa di dalam pakatan tidak dapat dipastikan, bagaimana PR begitu yakin yang mereka mampu memerintah negara?   Bayangkanlah, ini baru soal calon dan kerusi, belum lagi soal prinsip, halatuju dan ekonomi.   

Kita pasti, jika PR menang maka isu hudud, isu salon, arak, judi, murtad, Kalimah Allah, semuanya akan dibangkitkan kembali kerana isu-isu ini, pada hakikatnya tidak pernah selesai. Pada ketika itu, apa agaknya akan terjadi kepada negara kita?

Mungkin DAP yakin akan dapat mengawal keadaan kerana PAS selama ini hanya memilih untuk mengalah, tetapi apakah jaminan yang PAS akan mengambil sikap yang sama sekiranya benar-benar beroleh kuasa? Sedangkan, dihari-hari terakhir sebelum pilihanraya ini PAS sudah membuat percubaan untuk menjadi dominan dengan memastikan parti itu bertanding kerusi paling banyak.   

Mungkin juga DAP tidak mengambil kisah tentang berapa banyak kerusi PAS bertanding kerana dahulu pun PAS bertanding lebih banyak dari DAP tetapi kemenangan yang dicatat tetap kurang dari DAP.   

Namun, ini bukan petanda yang DAP harus mengambil mudah sikap emosional dan tidak rasional penyokong PAS yang benar-benar percaya bahawa perjuangan mereka menubuhkan Negara Islam adalah jihad. Ingatlah, bahawa mereka ini telah membuktikan bahawa mereka sanggup menelan dan melakukan apa saja yang ‘difatwakan’ oleh pemimpin mereka.  

Lihat sahaja bagaimana dahulu mereka menganggap DAP sebagai kafir harbi, tetapi sebaik sahaja pemimpin mereka memeluk Lim Kit Siang, secara automatik DAP menjadi lebih Islam dari UMNO. Atau lihat sahaja bagaimana mereka mengkafirkan undang-undang Malaysia, tetapi sejurus selepas bersalaman dengan Karpal Singh, secara automatik undang-undang yang sama menjadi ‘cukup Islam’ untuk terus dipertahankan. Dan lihat sahaja bagaimana mereka sanggup mengambil risiko ke atas masa depan, keselamatan dan nyawa mereka, termasuk isteri dan anak-anak kecil mereka yang diheret untuk berdemonstrasi hanya kerana Ulama mereka menyatakan bahawa demonstrasi itu adalah jihad.  

Justeru, tidak wajar kita melihat perang berebut kerusi di dalam PR ini sebagai perkara ringan.  Sesungguhnya, ini adalah petunjuk awal akan keadaan dalam Parlimen dan dalam negara sekiranya parti mereka memerintah. Kita juga sekali-kali tidak boleh mengenepikan kemungkinan perang antara agama akan turut berlaku di bawah pemerintahan PR.   

Sengaja penulis tidak membincangkan tentang kedudukan PKR dalam senario krisis pemerintahan PR, kerana setakat hari ini, PKR sebenarnya sudah tidak relevan lagi.  Ini kerana tiada siapa lagi yang mendengar arahan dan kata-kata Anwar. Malah, pengumuman Anwar bahawa isterinya yang juga Presiden Parti, iaitu Wan Azizah tidak akan bertanding dalam PRU kali ini juga, telah disanggah oleh anaknya sendiri.   

Inilah yang terjadi apabila antara Ketua Umum dan Presiden serta Naib Presiden yang merupakan suami isteri dan anak-beranak juga turut tidak dapat menghormati sesama sendiri.  

Hakikat penting yang perlu penyokong PR terima ialah, Anwar bukanlah bakal Perdana Menteri kerana PAS akan memastikannya begitu.  PAS tahu bahawa jika Anwar tidak mampu mengawal nafsu sendiri, bagaimana beliau boleh mengawal parti dan negara? Jika DAP dan PKR tetap bertegas inginkan Anwar maka bersedialah kita untuk menyaksikan perang besar di dalam kerajaan PR.   

Adalah mustahil untuk PR mentadbir negara tanpa ketua yang pasti dan tanpa susunan pentadbiran yang jelas. PR seharusnya menyelesaikan perkara asas ini terlebih dahulu dan bukannya menikam belakang sesama sendiri dalam menghadapi pilihanraya.   




Selasa, 9 April 2013

Segalanya TERJAWAB SPR Umum Tarikh Pilihanraya!


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian akan diadakan pada 5 Mei.

Kedua-dua tarikh itu ditetapkan pada mesyuarat khas yang diadakan sebentar tadi.

PRU 13

Tarikh Penamaan calon : 20 April (Sabtu)

Tarikh Mengundi Awal: 30 April 2013 (Selasa)

Tarikh Mengundi : 5 Mei 2013 (Ahad)

Sebanyak 8,789 pusat pengundian akan dibuka untuk PRU 13